UF nak post semula 1 artikel yang ditulis semasa era reformasi tahun 2000 dulu. Artikel ini pernah dipublish di beberapa laman web reformasi seperti tranungkite.net. Artikel yang sama pernah diterbitkan dalam satu penerbitan tidak berkala kelolaan Mohd Sayuti Omar (kalau tak salah). Walaupun artikel ini ditulis sepuluh tahun lepas tapi isunya evergreen dan relevan sepanjang zaman.
——————————————————-
Merujuk kepada teks ucapan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang yang disiarkan oleh HARAKAH (PAS) bil. 1175 bertarikh 17 Jamadil Akhir 1421 bersamaan 15 September 2000 dan ROKET (DAP) no. 004/2000 bertarikh 8 September yang bertajuk “Islam dan Demokrasi” menarik minat penulis untuk membuat analisa tentang pandangan beliau.
Memetik Lim Kit Siang sebagai berkata, “DAP mengambil keputusan untuk bersatu dengan 3 parti pembangkang yang lain (PAS, KeAdilan dan PRM) untuk menubuhkan BA, tujuannya adalah untuk memulihkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik” menunjukkan keikhlasan DAP dalam kerjasamanya dengan parti-parti alternatif lain untuk mengambil alih pemerintahan Malaysia dari BN yang semakin korupsi, seterusnya memerintah dengan satu sistem pentadbiran yang lebih telus dan amanah.
Ketika penubuhan BA yang turut dianggotai oleh PAS (mewakili orang Islam) dan DAP (mewakili bukan Islam), ramai di kalangan ahli Pas sendiri yang keliru tentang pakatan itu iaitu mengenai kerjasama “orang Islam” dengan “bukan Islam”. Namun isu ini telahpun dijelaskan oleh ulama-ulama PAS mengenai keharusan orang Islam meminta bantuan atau berpakat dengan orang bukan Islam (termasuk pakatan parti-parti politik seperti PAS dan DAP) selagi mana ia tidak menggugat kedudukan Islam. Keharusan ini berdasarkan prinsip-prinsip “Siyasah Syar’iyyah” yang berpaksikan kaedah “Maslahah Mursalah”.
Lim Kit Siang berkata lagi, “DAP akan berusaha ke saat akhir demi mencapai matlamat keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik sementara mempertahan sistem sekular Malaysia yang berdasarkan nilai-nilai bersama dalam agama di Malaysia”. Di sini menunjukkan perjuangan DAP ialah memperjuangkan nilai-nilai demokrasi (seperti keadilan dan kebebasan) disamping mengekalkan pemerintahan sekular Malaysia berdasarkan nilai-nilai baik semua agama sekiranya BA diberi peluang memerintah Malaysia suatu hari nanti.
Maka sekali lagi timbul kegelisahan di kalangan umat Islam terutamanya ahli PAS tentang hasrat DAP ini. Apa tidaknya, perjuangan PAS ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam dan mendaulatkan hukum-hakamnya. Sekali imbas seolah terdapat pertentangan antara dua perjuangan ini (mampukah PAS dan DAP meneruskan pakatannya dalam BA dengan fahaman yang berbeza?), tetapi penulis ingin menyelami pemikiran Lim Kit Siang secara ilmiah dan realiti.
Walaupun demokrasi ciptaan barat berbeza dari sistem syura Islam di mana segala keputusan ijtihad dalam Islam mestilah tidak menyalahi kehendak syarak meskipun ia dipersetujui oleh pendapat majoriti seperti membina kilang arak atau meluluskan lesen judi, ia tetap dianggap menyalahi syarak sekalipun ia diluluskan oleh suara terbanyak (Parlimen contohnya), namun dalam dunia sekarang ini yang boleh dikatakan hampir semua mengamalkan konsep demokrasi, adakah ia dianggap menyeleweng dari Islam?
Bersambung…..
Langgan:
Catat Ulasan
(Atom)
Tiada ulasan
Catat Ulasan