Lim Kit Siang telah membawa pandangan seorang penulis Islam iaitu Rashid al-Ghannouchi tentang dakwaan demokrasi yang dianggap sebagai “al-Syirk Billah” (menyekutukan Allah). Rashid al-Ghannouchi berpendapat dalam keadaan umat Islam sudah ketiadaan khilafah Islam, begitu juga hukum atau undang-undang Islam “tidak menghukum”, maka dalam kesempatan yang ada ini umat Islam perlu merebut peluang dengan segala sistem (walaupun ciptaan barat seperti demokrasi) yang ada untuk mendaulatkan Islam.
Pendapat al-Ghannouchi ini hendaklah dilihat secara positif dan perlu mendapat perhatian dari semua pemimpin gerakan Islam. Seorang lagi sarjana Islam Abu al-A’la al-Maududi berkata, “Islam bukan demokrasi dan bukan juga theokrasi fahaman barat tetapi dalam Islam ada unsur-unsur demokrasi dan theokrasi”. Perlu difahami bahawa Islam tidak sama dengan demokrasi kerana ia amat berbeza dengan mafhum Islam sebenarnya, namun unsur-unsur demokrasi seperti keadilan, kebebasan, persamaan dan lain-lain memang wujud dalam sistem politik Islam. Malah dalam pemerintahan Islam memang nilai-nilai ini dititik beratkan tanpa mengira bangsa dan agama untuk mewujudkan keamanan sejagat. Hal ini telah dibuktikan melalui pemerintahan Khulafa’ al-Rashidin. Nilai-nilai inilah yang dikehendaki oleh DAP dan ia sama dengan nilai-nilai Islam yang diperjuangkan oleh PAS samada kita gunakan istilah Islam atau pun tidak.
Perlu diberi perhatian, bagi PAS yang ingin memerintah Malaysia tidak dapat tidak terpaksa menggunakan saluran demokrasi (pilihanraya) untuk mencapai hajatnya kerana ia satu jalan yang selamat. Untuk menggunakan kekerasan adalah tindakan yang tidak tepat. Maka pilihanraya merupakan jalan yang terbaik untuk merealisasikan impiannya. Soal syar’i (boleh menurut Islam) atau tidak pilihanraya ini juga telah dibincangkan oleh ulama Islam masa kini. Secara ringkasnya walaupun sistem pilihanraya ini diperkenalkan oleh barat tetapi sistem ini boleh digunakan untuk menuju ke arah pembentukan sebuah negara Islam selagi mana ia memberi kebaikan (maslahah) dan tidak menggugat Islam. Ini memang dibenarkan dalam syariat Islam. Dalilnya Nabi Muhammad (s.a.w) pernah menerima sistem peperangan orang-orang Parsi yang bukan Islam ketika menentang tentera al-Ahzab dengan menggali parit besar di sekeliling kota Madinah bagi menghalang kemaraan tentera musuh.
Sudah pasti tujuan menyertai pilihanraya adalah untuk menang seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang adil dan telus. Dari segi realitinya, PAS agak sukar menubuhkan sebuah kerajaan sendirian tanpa bantuan rakan-rakannya dari BA termasuk DAP (yang mewakili bukan Islam). Apabila pakatan BA sudah terbentuk maka segala ideologi yang berbeza mesti ditolak tepi demi mencari kata sepakat yang tidak menggugat mana-mana parti komponen BA. Sebelum PAS dan DAP menyertai BA, masyarakat Malaysia sudah tahu sikap masing-masing. PAS mahukan sebuah negara Islam. DAP pula dikatakan anti negara Islam, malah menurut pandangan Lim Kit Siang, DAP akan terus mengekalkan pemerintahan sekular Malaysia.
Penulis berharap rakyat Malaysia baik orang Islam ataupun bukan Islam supaya jangan cepat melatah dengan situasi ini. Kita pasti perbincangan mendalam telah dilakukan oleh kedua-dua parti dalam menangani masalah ini. Penulis cuba menghuraikan maksud sebenar pandangan Lim Kit Siang itu. Penulis seorang Islam dan mempelajari bidang agama dalam jurusan syariah. Dalam hati, penulis memang inginkan sebuah negara Islam tertegak di bumi Malaysia ini.
Namun realitinya penduduk Malasyia adalah masyarakat majmuk walaupun orang Islam memegang peratus yang banyak. Impian ini agak sukar dilakukan apatah lagi dakyah songsang (seperti Islam itu ganas dan sebagainya) yang dibuat oleh BN terutamanya Umno untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam. Dalam hal ini PAS dan DAP perlu bertolak ansur tanpa menggadaikan prinsip masing-masing. Mustahil? Tidak sama sekali. PAS dan DAP boleh memerintah Malaysia (sekiranya BA ditakdirkan menang pilihanraya) dan mengekalkan sistem pemerintahan yang sedia ada di Malaysia seperti Parlimen, demokrasi berarlimen dan sebagainya.
Bersambung...
Langgan:
Catat Ulasan
(Atom)
Tiada ulasan
Catat Ulasan