Kita perlu melihat realiti. Walaupun PAS inginkan sebuah negara Islam dan menjalankan hukum-hakamnya tetapi PAS perlu melihat bahawa untuk menjalankan sistem pemerintahan yang berasaskan khilafah seperti yang disarankan oleh ulama-ulama silam seperti imam al-Mawardi, Qadhi Abu Ya'la, Ibnu Jamaah dan lain-lain adalah tidak sesuai pada masa sekarang. Imam al-Mawardi sesuai membincangkan sistem khilafah kerana beliau hidup dalam zaman yang berkhalifah, tetapi kita hari ini sudah ketiadaan khilafah Islam (sejak kejatuhan khilafah Islam Usmaniah terakhir tahun 1924M).
Yang ada sekarang hanyalah negara-negara Islam setelah penjajah barat membahagi-bahagikan sempadan negara Islam, maka ulama-ulama Islam perlu memikirkan pendekatan dan kaedah terbaru yang lebih sesuai dengan keadaan semasa yang tidak bercanggah dengan ruh syarak itu sendiri. Apatah lagi Islam hanya menggariskan asas-asas politik dan tidak menentukan secara khusus sebuah sistem pemerintahan kepada umat Islam. Terpulang kepada pemimpin-pemimpin umat Islam untuk menentukan bagaimana corak pemerintahan yang sesuai bagi melaksanakan asas-asas tersebut.
Hal ini telah disuarakan oleh tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Rashid Redha, Abd Wahhab Khallaf, Muhammad Yusuf Musa, Dhiya' al-Din al-Rais, Hasan al-Banna, Rauf Syalabi, Kamal Mustafa dan lain-lain yang memberikan pandangan bahawa matlamat umat Islam sekarang ialah menegakkan sebuah sistem pemerintahan yang bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam (keadilan, kebebasan dan sebagainya).
Malaysia sudah terkenal dengan demokrasi berparlimen. Untuk merombak kesemua sistem yang ada agar menjadi satu sistem Islam bukannya kerja mudah. Yang penting ialah menukar dasar utama negara menjadi dasar yang merujuk al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad (s.a.w). Prof. Ahmad Ibrahim pernah berkata bahawa tidak perlu menukar kesemua perlembagaan Malaysia yang sedia ada untuk menjadi islamik, hanya perlu menukar beberapa fasal dalam pelembagaan sahaja.
Pilihanraya itu sendiri boleh dikekalkan sekiranya PAS memerintah secara Islam sebagai "check and balance" kepada kerajaan yang memerintah agar sentiasa mengekalkan pemerintahan yang adil. Sebab itulah pandangan Lim Kit Siang untuk mengekalkan sistem sekular Malaysia (pilihanraya satu sistem sekular) yang berdasarkan nilai-nilai bersama agama di Malaysia tidak perlu dirisaukan oleh orang Islam kerana nilai-nilai demokrasi seperti keadilan, kebebasan, persamaan dan lain-lain memang ada dalam mana-mana agama.
Andaikata untuk menjalankan pemerintahan Islam mendapat tentangan hebat dalam dan luar negara serta keadaan tidak mengizinkan maka PAS boleh berpada dengan nilai-nilai sistem tersebut yang disepakati bersama. Walaupun tidak menggunakan istilah "pemerintahan Islam" tetapi dengan terlaksananya nilai-nilai itu ia sudah memadai. Inilah yang dikatakan oleh al-Ghannouchi iaitu samada menggunakan istilah Islam atau tidak, itu tidak penting selagi mana kandungan Islam itu dapat dihayati dalam realiti masyarakat majmuk sekiranya tidak mampu untuk menjalankan seratus peratus. Dalam kaedah fiqh ada menyebut "Ma La Yudraku Kulluhu, La Yutraku Kulluhu" yang bermaksud "apa yang tidak dapat dicapai kesemuanya, tidak perlu meninggalkan kesemuanya pula".
Penulis berpendapat pandangan Lim Kit Siang tidak menimbulkan kontroversi sekiranya umat Islam memahami maksud tersirat yang terdapat di sebalik pandangannya itu. Namun bagi pendapat penulis sendiri, PAS dan ahli-ahlinya tidak perlu bimbang andainya orang bukan Islam tidak mahukan pemerintahan Islam diadakan di Malaysia dan ia dapat diatasi dengan siri penerangan yang berterusan dan diperhebatkan untuk memahamkan orang bukan Islam tentang konsep pemerintahan Islam.
Manakala Lim Kit Siang, DAP dan orang bukan Islam pula tidak perlu takut andainya pemerintahan secara Islam dilaksanakan di Malaysia kerana Islam menjamin hak-hak mereka dan tidak menindas mereka. Malah mereka bebas untuk memilih undang-undang Islam atau Common Law dalam menyelesaikan sebarang masalah seperti yang berlaku dalam sejarah Islam. Undang-undang Islam tidak dipaksa ke atas orang bukan Islam. Mereka juga perlu menghadiri program-program penerangan yang dianjurkan oleh PAS dan menjauhi dakyah-dakyah jahat BN yang bertujuan untuk menakutkan dan mengelirukan pemahaman orang ramai.
Apapun yang penting seperti kata Lim Kit Siang di akhir ucapannya ialah dialog dan perbincangan antara parti komponen BA perlu dibuat secara berterusan dalam menjelaskan isu ini.
http://www.tranungkite.net/lama/arkib11.htm
SELASA : 19 SEPTEMBER 2000 / 20 JAMADILAKHIR 1421
Langgan:
Catat Ulasan
(Atom)
Bagaimana anda boleh jadi terlalu taksub kepada DAP anak beranak Lim Kit Siang ini? Setiap tahun semua IPTA wajib menghantar senarai nama pensyarah pro pembangkang kepada KPT. Nama Irwan telah dihantar oleh USIM.Eloklah anda merayu kepada KPT agar tidak menjejaskan karier/geran anda atau sahabat co-writer anda. Kini anda faham mengapa ada pensyarah 'segan' nak bekerja dengan anda. Atau anda boleh berpindah ke kolej-kolej swasta?
BalasPadamMungkin disebabkan ada orang yang taksub mereport hal UF kepada USIM dan KPT kot.
BalasPadamAda pensyarah 'segan' nak bekerja dengan UF? hehe...
Kolej swasta mana yang sesuai ye...