Siri Usul Fiqh sebelum ini hanya ditulis 3 siri sahaja. Atas
permintaan, UF menyambung kembali perbahasan tentang Usul Fiqh. Insya
Allah akan menjadi siri penulisan yang tetap dalam blog ini memandangkan
ia amat berkait rapat dengan nama "usulifaqih".
Berikut adalah sambungan siri Usul Fiqh...
SEJARAH ILMU USUL FIQH (ZAMAN RASULULLAH S.A.W)
Usul Fiqh telah wujud sejak wujudnya Fiqh kerana kedua-duanya tidak
boleh dipisahkan. Turun atau datangnya wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W,
maka dua ilmu ini akan berperanan memberikan natijah tertentu. Walaupun
begitu, Usul Fiqh bukanlah ilmu yang dipelajari dalam bentuk rasmi
sebagai satu subjek pada zaman Rasulullah.
Usul Fiqh pada permulaannya adalah dalam bentuk praktikal. Maksudnya
apabila turun wahyu maka Rasulullah akan mengikut kehendak wahyu. Jika
perkara itu wajib, maka Rasulullah akan melakukannya dan tidak akan
meninggalkannya sama sekali. Jika ia haram, maka Rasulullah akan
menjauhinya dan tidak melakukannya sama sekali. Begitulah seterusnya.
Dengan tindakan Rasulullah itu, para Sahabat dapat memahami bahawa
perkara pertama adalah wajib dan perkara kedua adalah haram. Mereka
memahami perkara ini bukan kerana kaedah-kaedah Usul Fiqh yang tertulis
dalam mana-mana buku. Mereka memahaminya daripada praktikal dan tindakan
Rasulullah S.A.W.
Pada zaman Rasulullah S.A.W, tidak ada keperluan untuk menulis dan
membukukan kaedah-kaedah istinbat Usul Fiqh. Bukan sahaja Usul Fiqh,
bahkan semua ilmu pengajian Islam tidak ditulis atau dibukukan pada
zaman Rasulullah S.A.W. Ini kerana Rasulullah adalah rujukan secara
langsung kepada para Sahabat untuk mengetahui hukum hakam.
Jika para Sahabat berada berdekatan dengan Rasulullah, mereka akan
bertanya kepada baginda. Jika mereka berjauhan, contohnya dalam musafir,
mereka akan bertanya kemudian kepada Rasulullah tentang apa yang telah
lakukan atau isu-isu yang berbangkit. Jika tindakan mereka betul,
Rasulullah akan mengiyakan. Manakala jika tindakan mereka salah,
Rasulullah akan perbetulkan.
Langgan:
Catat Ulasan
(Atom)
Tiada ulasan
Catat Ulasan