Di samping berbual taaruf dengan Dr. Tawfiq, aku tidak membuang masa begitu sahaja. Aku terus berbincang dengan beliau tentang tajuk yang akan aku tulis untuk Ph.D aku. Tajuk yang aku cadang untuk menulis tentangnya ialah "Perubahan Hukum Syarak Disebabkan Perubahan Zaman dan Tempat".
Bagi aku, cita-cita dan impian aku untuk sambung belajar di Universiti Damascus sudah tercapai. Jadi aku tidak akan alpa dengan keghairahan belajar di sini. Fokus aku hanya satu iaitu mendapat Ph.D di sini dan menjadi orang Malaysia pertama yang bergraduan Doktor Falsafah daripada Universiti Damascus.
Selesai berbincang dengan Dr. Tawfiq, aku meminta izin untuk pulang ke rumah. Hati aku cukup puas walaupun perbincangan itu ringkas. Beliau bersetuju dengan tajuk cadangan yang aku berikan. Sebenarnya aku bertambah gembira bila Dr. Tawfiq memberitahu aku yang beliau sendiri telah dilantik sebagai penyelia tesisku. Beliau banyak membantu aku semasa di awal permohonan untuk masuk ke universiti ini.
Selepas itu aku pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, pintu rumah aku diketuk. Bila aku buka pintu, aku dapati seorang arab lelaki. Rupanya dia adalah tuan rumah yang aku duduki itu. Beliau bertanya, sampai bila aku nak duduk di rumah itu. Aku yang terpinga-pinga, menjawab nanti aku bagi jawapan.
Sangka aku, rumah itulah yang akan menjadi tempat tinggal aku selama aku belajar di Syria. Rupanya itu hanya rumah tumpangan sementara. Rumah itu dijadikan rumah transit untuk rombongan Malaysia yang datang ke Syria. Ia dikendalikan oleh seorang pelajar Malaysia yang lama tinggal di Syria dan menjalankan bisnes pelancongan.
Bersambung....
Tiada ulasan
Catat Ulasan