Memahami Dalil


17 September 2024

Memahami Dalil

 

1. Dalam displin pengajian Islam dan lebih khusunya bidang Syariah, apabila bercakap mengenai hukum hakam fiqh atau hukum Syarak, biasanya akan dinyatakan dalil atau sumber rujukan hukum tersebut. 2. Syeikh Al-Didu Al-Shanqitiyy menyatakan:
فاكتساب الأحكام لا يمكن أن يكون بالأوهام والتخمين، بل لا بد فيه من الرجوع للأدلة
Maksudnya: “Memperolehi hukum hakam tidak boleh berdasarkan ilusi dan tekaan, tetapi mestilah merujuk kepada dalil-dalil”. 3. Perkara ini juga dinyatakan oleh Dr. ‘Abd al-Karim Zaydan:
الأحكام الشرعية إنما تعرف بالأدلة التي أقامها الشارع لترشد المكلفين إليهم، وتدلهم عليها وتسمى هذه الأدلة: بأصول الأحكام أو المصادر الشرعية للأحكام أو أدلة الأحكام. فهي أسماء مترادفة والمعنى واحد
Maksudnya: “Hukum hakam Syarak hanya diketahui melalui dalil-dalil yang ditetapkan Syarak untuk memandu muakallaf dan memberi petunjuk kepada mereka mengenainya (hukum hakam). Dalil-dalil ini dinamakan usul hukum atau sumber hukum Syarak atau dalil hukum. Kesemuanya adalah nama yang sinonim dan namun maksudnya adalah sama”. 4. Imam al-Juwayniyy mendefinisikan dalil sebagai:
وَالدَّلِيل هُوَ المرشد إِلَى الْمَطْلُوب لِأَنَّهُ عَلامَة عَلَيْهِ
Maksudnya: “Dalil ialah perkara yang membawa kepada maksud kerana ia adalah tanda baginya”. 5. Imam al-Mahalliyy mendefinisikan dalil dengan definisi yang sama:
ما يمكن التوصل بصحيح النظر فيه إلى مطلوب خبري
Maksudnya: “Perkara yang dapat membawa kepada pengetahuan tentang perkara yang dikehendaki melalui penelitian yang betul terhadapnya”. Dr. ‘Abd al-Karim Zaydan menjelaskan maksud “matlub khabariyy” (perkara yang dikehendaki) ialah hukum Syarak. 6. Menurut ilmu Usul Fiqh, dalil iaitu perkara yang membawa kepada hukum Syarak, ada dua belas. Penentuan hukum Syarak yang utama adalah berdasarkan al-Quran dan/atau hadis. Sekiranya tiada dalil daripada al-Quran dan/atau hadis, boleh berdasarkan mana-mana dalil selain dua dalil utama tersebut. 7. Ini berdasarkan hadis:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا أَرَادَ أَنْ يَبْعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ قَالَ : كَيْفَ تَقْضِي إِذَا عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ؟ قَالَ: أَقْضِي بِكِتَابِ اللَّهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي كِتَابِ اللَّهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَا فِي كِتَابِ اللَّهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، وَلَا آلُو فَضَرَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدْرَهُ، وَقَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ لِمَا يُرْضِي رَسُولَ اللَّهِ
Maksudnya: "Rasulullah SAW ketika ingin mengutus Muaz ke Yaman (sebagai qadi), baginda bertanya: "Bagaimana engkau akan menghakimi apabila dihadapkan kepadamu suatu keputusan?" Mu'az menjawab: "Aku akan menghakimi berdasarkan Kitab Allah (Al-Quran)" Baginda bertanya lagi: "Jika engkau tidak menjumpainya dalam Kitab Allah?" Muaz menjawab: "Dengan sunnah Rasulullah SAW." Baginda bertanya lagi: "Jika engkau tidak menjumpainya dalam sunnah Rasulullah SAW dan juga dalam Kitab Allah?" Muaz menjawab: "Aku akan berijtihad dengan pendapatku, dan aku tidak akan lalai." Maka Rasulullah SAW menepuk dadanya dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah kepada sesuatu yang membuat Rasulullah reda". 8. Dalil menurut perbahasan ilmu Usul Fiqh klasik dibahagikan kepada dua kategori:
a. Al-Adillah al-Muttafaq Alayha (dalil-dalil yang disepakati kehujahannya oleh ulama). Ia terdiri daripada; al-Quran, sunnah (hadis), ijmak dan qiyas.
b. Al-Adillah al-Mukhtalaf Fiha (dalil-dalil yang diperselisihi kehujahannya oleh ulama). Ia terdiri daripada; maslahah mursalah, uruf, istihsan, istishab, sadd al-dhari‘ah (menutup jalan keburukan), ijmak ahl al-madinah, qawl al-sahabi (fatwa pada Sahabat) dan shar‘u man qablana (syariat umat terdahulu). 9. Ini bererti dalil bukan hadis sahaja. Dalil bukan hadis semata-mata. 10. Pada zaman kontemporari ini, dalil-dalil di atas sama ada Al-Adillah al-Muttafaq Alayha atau Al-Adillah al-Mukhtalaf Fiha telah diterima pakai oleh institusi fatwa dalam dan luar negara seperti Majmak Fiqh Islami Dawli, Dar al-Ifta' Jawatankuasa Fatwa Negeri, Jawatankuasa Muzakarah MKI dan lain-lain. 11. Dalil-dalil yang diterima dalam penghujanan hukum Syarak adalah:
Pertama: al-Quran.
Kedua:. Sunnah/hadis.
ketiga: Ijmak.
Keempat: Qiyas.
Kelima: maslahah mursalah.
Keenam: uruf.
Ketujuh: istihsan.
Kelapan: istishab.
Kesembilan: sadd al-dhari'ah (menutup jalan keburukan).
Kesepuluh: ijmak ahl al-madinah.
Kesebelas: qawl al-sahabi (fatwa pada Sahabat).
Kedua belas: shar'u man qablana (syariat umat terdahulu). 12. Kesemua dalil-dalil di atas mempunyai dalil kehujahan daripada al-Quran dan hadis untuk boleh beramal, menggunakan atau merujuk kepadanya. 13. Soalan yang lebih tepat apabila hendak mengetahui sandaran atau sumber hukum adalah "apa dalilnya?", bukannya "apa hadisnya?". Hal ini kerana bertanyakan soalan "apa dalilnya?" akan merangkumi semua kategori dalil-dalil hukum. Manakala soalan "apa hadisnya?" hanya merangkumi satu kategori dalil sahaja sedangkan hukum Syarak tidak semestinya hanya bersandarkan kepada hadis semata-mata. Rujukan
‘Abd al-Karim Zaydan. T.th. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. T.tp: Mu’assasah Qurtubah Tiba‘ah Nashr Tawzi‘.
‘Abd al-Wahhab Khallaf. T.th. ‘Ilm Usul al-Fiqh Wa Khulasah Tarikh al-Tashri‘. T.tp: Matba‘at al-Madaniyy.
Al-Didu Al-Shanqitiyy, Muhammad al-Hasan Walad Muhammad. T.th. Sharh al-Waraqat Fi Usul al-Fiqh. T.tp: T.pt.
Ibnu Manzur, Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukarram bin ‘Aliyy. 1414H. Lisan al-‘Arab. Beirut: Dar Sadir.
al-Juwayniyy, Abu al-Malik Rukn al-Din Imam al-Haramayn ‘Abd al-Malik bin ‘Abdulllah in Yusuf bin Muhammad. 2006. Al-Waraqat. T.tp: Dar al-Sami‘iyy Li al-Nashr Wa al-Tawzi‘.
Al-Mahalliyy, Jalal al-Din Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim al-Shafi‘iyy. 1999. Sharh al-Waraqat Fi Usul al-Fiqh. T.tp: Jami‘at al-Quds.
Mu‘jam al-Mustalahat al-Shar‘iyyah.
al-Mu‘jam al-Wasit. 1972. Majma‘ al-Lughat al-’Arabiyyah Bi al-Qahirah.
Al-Zarkashiyy, Abu ‘Abdillah Badr al-Din Muhammad bin ‘Abdullah bin Bahadur. 1994. Al-Bahr al-Muhit Fi Usul al-Fiqh. T.tp: Dar al-Kutubiyy.
Qutb Mustafa Sanu. 2000. Mu‘jam Mustalahat Usul al-Fiqh ‘Arabiyy Injliziyy. Dimasqh: Dar al-Fikr al-Mu‘asir. Oleh: Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri Profesor Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) - Ajk Fatwa Negeri Pulau Pinang - Setiausaha, Akademik Fiqh Islami Malaysia (AFHAM) - Timbalan Presiden, Malaysian Academic Association Congress (MAAC)

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage