Pengamalan Dan Rujukan Mazhab Fiqh Oleh Jawatankuasa Fatwa Di Malaysia Dan Antarabangsa


09 September 2024

Pengamalan Dan Rujukan Mazhab Fiqh Oleh Jawatankuasa Fatwa Di Malaysia Dan Antarabangsa

 


(Sumber Gambar: aktual.com)

1. Di Malaysia, semua Jawatankuasa Fatwa Negeri (kecuali Perlis) menyatakan ia merujuk kepada pendapat muktamad mazhab Syafie dalam pemfatwaan. Dalam keadaan-keadaan tertentu, Jawatankuasa Fatwa akan merujuk kepada pendapat muktamad mazhab lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali. Ia bererti Jawatankuasa Fatwa Negeri merujuk dan mengamalkan empat mazhab fiqh yang muktabar dan masyhur iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali dalam pemfatwaan.

2. Sebagai contoh, Akta Pentadbiran  Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan dalam seksyen 39 (Nas yang hendaklah diikuti):
39. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.
(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

3. Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004 juga memperuntukkan dalam seksyen 14 (Qaul muktamad yang hendak diikuti):
14. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 8 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 13, Majlis Fatwa Negeri hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.
(2) Jika Majlis Fatwa Negeri berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Majlis Fatwa Negeri bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali.

4. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 tidak memperincikan mana-mana mazhab dalam pemfatwaan. Ia hanya menyebut merujuk kepada Quran dan hadis seperti berikut:
Sumber Yang Hendaklah Diikuti
54. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa hendaklah mengikut AL-Quran dan/atau Sunnah Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam (Nota penulis: sepatutnya perkataan Wassalam ditulis Wa Sallam).

5. Namun seksyen 54(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 dijelaskan oleh Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke - 59 / 2022 yang diadakan pada 14-15 September 2022 / 17-18 Safar 1444h Bil. 2/59 Tahun 2022 Tentang “Pegangan & Pendirian Perlis Mengenai Mazhab-Mazhab Fiqah”:
1. Jawatankuasa Fatwa dalam mentarjihkan (menilai dan memilih) pandangan-pandangan hukum, tidak terikat dengan hanya satu mazhab fiqah, sebaliknya membahas dan mentarjihkan (menilai dan memilih) pandangan-pandangan fiqah yang ada di dalam empat mazhab utama atau selain daripadanya (dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah) jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

6. Sebagai perbandingan, Perlis lebih terbuka dalam pengamalan dan rujukan mazhab fiqh iaitu empat mazhab fiqh utama (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali) dan mazhab-mazhab fiqh selain daripada empat itu dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Manakala tiga belas negeri lain hanya memperuntukkan empat mazhab fiqh utama (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali) sahaja dalam pemfatwaan.

7. Di peringkat antarabangsa, Da’irat al-Ifta’ Jordan memilih mazhab Syafie sebagai manhaj fatwa yang muktamad. Namun ia tidaklah terikat semata-mata dengan mazhab Syafie, bahkan ia turut merujuk kepada mazhab-mazhab fiqh yang lain tanpa membataskan berapa atau mazhab fiqh yang mana satu.

8. Dar al-Ifta’ Mesir juga begitu dengan mengamalkan dan merujuk kepada semua mazhab fiqh yang ada. Ini dinyatakan oleh mantan Mufti Mesir, Prof. Dr. Syauqi ‘Allam di mana Dar al-Ifta’ Mesir akan memilih pandangan-pandangan mazhab fiqh yang sesuai dengan keadaan masyarakat dan realiti yang sentiasa berubah.

9. Majmak al-Fiqh al-Islami al-Dawli yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi sebagai badan fatwa antarabangsa di bawah Organisation of Islamic Cooperation (OIC) pula mengamalkan dan merujuk kepada lapan mazhab fiqh iaitu Hanafi, Maliki Syafie, Hanbali, Ja‘fari, Zaidi, Ibadi dan Zahiri. Ini berdasarkan resolusi Majmak No. 152 (1/17) pada tahun 2006.

10. Mazhab-mazhab fiqh yang kekal hingga ke hari ini adalah khazanah ilmu fiqh tidak ternilai yang bertujuan untuk memahamkan masyarakat Islam tentang hukum hakam fiqh. Ia adalah rumusan ijtihad para fuqaha mazhab daripada dalil al-Quran, hadis dan dalil-dalil lain. Mereka yang berkelayakan dalam merumuskan, beristinbat dan berijtihad adalah mereka yang mempelajari dan mendalami ilmu Fiqh, Usul Fiqh dan lain-lain. Ia bukan kerja orang awam yang tidak menguasai ilmu-ilmu Syariah.

11. Penentuan untuk beramal dengan mana-mana mazhab fiqh adalah bidang kuasa negeri-negeri di Malaysia. Semua pihak perlu menghormati bidang kuasa negeri masing-masing.

Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri
Profesor
Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

- Ajk Fatwa Negeri Pulau Pinang
- Setiausaha, Akademik Fiqh Islami Malaysia (AFHAM)
- Timbalan Presiden, Malaysian Academic Association Congress (MAAC)


Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage