Uruf (Adat) Dalam Fatwa Perlis


19 September 2024

Uruf (Adat) Dalam Fatwa Perlis

 


(Sumber Gambar: vecteezy.com)

1. Uruf atau adat adalah salah satu dalil penentuan hukum Syarak mengikut ilmu Usul Fiqh. Ia juga salah satu tonggak kaedah fiqh yang turut digunakan dalam penghujahan hukum Syarak. 2. Syeikh ‘Abd al-Wahhab Khallaf mendefinisikan uruf:
ما تعارفه الناس وساروا عليه من قول أو فعل أو ترك، ويسمى العادة
Maksudnya: “Perkara yang menjadi kebiasaan oleh masyarakat dan diamalkan mereka, sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau meninggalkan sesuatu. Ia juga disebut sebagai adat”. 3. Dalil kehujahan uruf daripada al-Quran, Allah SWT telah berfirman:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya, “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik (yang kebiasaan), serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)” (al-Quran. Al-A‘raf: 199). 4. Ayat al-Quran ini menyuruh agar mengikuti kebiasaan atau uruf selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip Syarak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang memerintahkan agar umat Islam beramal dengan cara yang ma‘ruf atau baik atau kebiasaan. Contohnya, Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya, “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya (kebiasaan)” (al-Quran. Al-Baqarah: 233). 5. Ayat al-Quran ini menyuruh agar si ayah memberi nafkah makan dan pakaian kepada ibu (isterinya) yang menyusu dengan mengikut makanan dan pakaian kebiasaan (uruf) setempat. 6. Hadis mawquf riwayat ‘Abdullah bin Mas‘ud mnyatakan:
فَمَا رَأَى الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ وَمَا رَأَوْا سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ سَيِّئٌ
Maksudnya, “Apa yang dilihat baik oleh (fuqaha) muslimin, maka baiklah ia di sisi Allah. Apa yang dilihat buruk oleh mereka, maka buruklah ia di sisi Allah” (Hadis. Ahmad. No. 3600). 7. Para fuqaha menjelaskan bahawa kaedah tersebut menjadi tonggak rujukan fiqh kerana banyak masalah-masalah fiqh merujuk kepada kaedah ini. Antaranya penentuan permulaan umur haid dan baligh bagi lelaki dan perempuan, tempoh minimum dan maksimum haid, pendek panjang tempoh muwalat dalam wuduk atau ijab qabul dalam akad kontrak atau nikah dan sebagainya. Semua perkara ini tidak mempunyai dalil khusus, bahkan bersandarkan kepada uruf setempat dan ia boleh berubah mengikut tempat dan masa. 8. ‘A’ishah RA meriwayatkan hadis Hindun binti ‘Utbah yang mengadu tentang kebakhilan suaminya Abu Sufyan, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya, “Ambillah (daripada harta suamimu) apa yang cukup bagimu dan anakmu dengan cara yang baik (kebiasaan yang mencukupi)” (Hadis. Al-Bukhariyy. Bab Idha Lam Yunfiq al-Rajul Fa Li al-Mar’ah An Ta’khudh Bi Ghayr ‘Ilmihi Ma Yakfiha Wa Waladiha Min Ma‘ruf. No. 5049). 9. Hadis ini memberi panduan kepada Hindun serta isteri-isteri yang lain, bahawa dibenarkan untuk mengambil harta suaminya tanpa izin setakat yang perlu yakni pada kebiasaannya mencukupi untuk hidup (mengikut uruf setempat). Keadaan ini disyaratkan sekiranya suami kedekut untuk memberi nafkah. Jika suami sudah bertanggungjawab memberi nafkah yang mencukupi, tidak dibenarkan isteri mengambil harta suami tanpa keizinannya. 10. Dalam konteks pengamalan uruf dalam fatwa di Malaysia khususnya di Perlis, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 memperuntukkan:
Sumber Yang Hendaklah Diikuti
54. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa hendaklah mengikut AL-Quran dan/atau Sunnah Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam (Nota penulis: sepatutnya perkataan Wassalam ditulis Wa Sallam).
(2) Pada mengeluarkan sesuatu fatwa di bawah Bahagian ini Majlis dan Jawatankuasa Fatwa hendaklah menngamil ingatan terhadap Adat Istiadat Melayu atau Undang-Undang Adat Istiadat Melayu yang terpakai dalam Negeri Perlis. 11. Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan adat sebagai “peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala”. Manakala istiadat didefinisikan sebagai “peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan”. 12. Perkataan adat istiadat telah dinamakan kepada Majlis Agama Islam Perlis sebagai “Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu Perlis”. Seksyen 6(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948: “Ketua Agama bagi Negeri ialah Raja dan Raja boleh memerintah supaya dibuat undang-undang untuk tujuan mengatur dan menubuh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu bagi membantu dan menasihat Baginda di dalam segala perkara yang berkaitan dengan agama Negeri dan adat istiadat Melayu”. 13. Dari segi aplikasi uruf dalam fatwa Perlis, ada hujah uruf yang diterima dan ada hujah uruf tidak diterima. 14. Contoh fatwa Perlis mengenai pengamalan uruf ialah dalam “Fatwa Jarak Solat Qasar”:
(Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke - 42 / 2019)
Jarak perjalanan seseorang ke destinasi tertentu dibolehkan qasar berdasarkan kepada dua penilaian iaitu:
Berdasarkan kepada jarak iaitu lebih kurang 80KM dan ini merupakan pendapat jumhur ulama. Tidak ada hadis yang sahih yang menetapkan jarak ini. Namun, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas yang mengambil kira jarak antara Mekah dengan Taif dan Mekah dengan Jeddah.
Berdasarkan kepada ‘uruf yang mengambil kira sesuatu jarak perjalanan sebagai musafir. ‘Uruf ini mengambil kira kedudukan persiapan dan kesukaran yang berlaku dalam musafir tersebut. Pendapat ini tidak menghadkan jarak tertentu. Tokoh-tokoh seperti Ibn Qudamah al-Maqdisi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syawkani, Muhammad Saleh bin ‘Uthaimin, al-Albani, al-Qaradhawi dan lain-lain menyokong pendapat ini.
Jika seseorang berkeyakinan yang ‘uruf perjalanannya itu suatu permusafiran, walaupun kurang daripada jarak 80KM, perjalanan tersebut dikira musafir. Namun, jika sukar untuk menentukan kelayakan perjalanannya untuk dianggap sebagai musafir, boleh berpegang dengan pendapat jumhur ulama yang menetapkannya lebih kurang 80KM sahaja untuk melayakkannya dikira sebagai musafir.
Para ulama bersepakat, jika seseorang syak sama ada musafirnya itu layak atau tidak untuk dinamakan sebagai musafir, ia perlu merujuk kepada asal kewajipan solat iaitu perlu ditunaikan secara tamam dan tidak boleh menunaikannya secara qasar. Jika seseorang meyakini perjalanannya suatu permusafiran, dia digalakkan untuk melakukan qasar kerana Ibn Umar telah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W., Abu Bakar R.A, Umar R.A dan Uthman R.A sentiasa melakukan qasar dalam permusafiran. Jika dia menunaikan solat di belakang imam yang menunaikan solat secara tamam (4 rakaat), dia hendaklah melengkapkan solatnya seperti solat imam tersebut. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas dalam Musnad Ahmad. Berhubung dengan solat jama’, ia dibolehkan dalam permusafiran. 15. Contoh fatwa Perlis yang tidak menerima uruf ialah dalam “Fatwa Zakat Emas Perhiasan”:
(Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-20 & 21/2016 Tarikh: 18-19 Februari 2016 / 9-10 Jamadil Awwal 1437H)
Setelah berbincang dengan panjang lebar dan meneliti hujah-hujah yang dibentangkan, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan seperti berikut:
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju sebulat suara untuk mengekalkan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang telah bersidang pada 11 Mei 1988 seperti berikut:
i. Tiada perbezaan mengenai kewajipan zakat ke atas emas yang dipakai atau emas yang disimpan ;
ii. Tiada istilah Had Uruf di Negeri Perlis;
iii. Semua pemilik emas yang melebihi nisab 85 gram emas dikenakan zakat. RUJUKAN
‘Abd al-Karim Zaydan. T.th. al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. T.tp: Mu’assasah Qurtubah Tiba‘ah Nashr Tawzi‘.
‘Abd al-Wahhab Khallaf. T.th. ‘Ilm Usul al-Fiqh. T.tp: Maktabat al-Da‘wat al-Islamiyyah.
Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Pelajar.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006.
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis. https://www.maips.gov.my/index.php?lang=img
Al-Suyuti, Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman. 1983. Al-Ashbah Wa al-Naza’ir. T.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948. Oleh: Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri Profesor Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) - Ajk Fatwa Negeri Pulau Pinang - Setiausaha, Akademik Fiqh Islami Malaysia (AFHAM) - Timbalan Presiden, Malaysian Academic Association Congress (MAAC)

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage