Mukaddimah Fatwa


01 Januari 2016

Mukaddimah Fatwa

Allah S.W.T telah mencipta manusia dan menjadikan mereka kepada dua golongan, iaitu jahil (tidak tahu) dan alim. Menjadi tanggungjawab ke atas orang yang jahil untuk menghilangkan kejahilannya itu. Malah seseorang itu akan berdosa sekiranya dia tidak berusaha untuk belajar dan mengetahui jawapan terhadap sesuatu kemusykilan.
            Oleh sebab itulah orang jahil perlu berjumpa dan bertanyakan jawapan kepada orang alim. Ini sesuai dengan firman Allah S.W.T:
﴿فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُوْنَ﴾
Maksudnya, “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”. (al-Quran. al-Nahl: 43).
           
Ayat al-Quran ini memerintahkan agar orang yang tidak tahu agar bertanyakan kepada orang yang tahu. Dalam isu agama sudah pasti orang yang tahu itu ialah golongan para ulama atau ustaz dalam konteks Malaysia.
Imam al-Khatib al-Baghdadiyy (1996) dalam kitabnya “Kitab al-Faqih Wa al-Mutafaqqih” menjelaskan:
"أول ما يلزم المستفتي إذا نزلت به نازلة أن يطلب المفتي، ليسأله عن حكم نازلته. فإن لم يكن في مَحِلَّتِه، وجب عليه أن يمضي إلى الموضع الذي يجده فيه، فإن لم يكن ببلده لزمه الرحيل إليه، وإن بعُدَت داره، فقد رَحَلَ غيرُ واحد من السلف في مسألة"
Maksudnya, “Kewajipan pertama orang yang tidak tahu (al-mustaftiyy) apabila menghadapi sesuatu masalah ialah mencari mufti. Tujuannya ialah untuk mendapatkan jawapan terhadap masalahnya itu. Sekiranya mufti tiada di tempatnya itu, perlulah dia pergi ke tempat yang boleh dia menjumpai mufti. Sekiranya mufti tiada di negerinya, maka perlulah dia bermusafir mencarinya walaupun jaraknya jauh. Mengikut sejarah, ramai para ulama salaf berbuat demikian (bermusafir) hanya kerana satu masalah sahaja”.
           
Sekiranya orang yang tidak tahu tidak bertanya kepada orang yang alim, mereka akan beterusan atas kejahilan. Mereka akan meraba-raba dalam kegelapan jahil dan menghadapi masalah dalam memahami agama. Akibatnya mereka mungkin akan dihanyutkan oleh hawa nafsu mereka. Yang paling dahsyat ialah mereka mungkin akan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Semuanya ini dilakukan oleh mereka tanpa mereka tahu atau faham tentang hukum hakam.
Menjadi kewajipan ke atas orang alim pula untuk menjawab atau memberikan hukum apabila ditanya oleh orang yang bertanya (al-mustaftiyy). Ini kerana mereka memerlukan jawapan terhadap permasalahan agama yang mereka hadapi. Inilah antara tugas Rasulullah S.A.W iaitu menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh para sahabat RA. Apatah lagi antara sifat wajib bagi baginda ialah al-tabligh iaitu menyampaikan ilmu kepada manusia.
            Rasulullah S.A.W bersabda:
{الْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلا دِرْهَمًا، وَرَّثُوا الْعِلْمَ}
Maksudnya, “Para ulama merupakan pewaris Nabi. Para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, bahkan mereka mewariskan ilmu”. (Hadis. Abu Dawud. Kitab al-cIlm: Bab al-Hathth cAla Talab al-cIlm. #3641).

Memandangkan ulama ialah pewaris Nabi seperti yang digambarkan dalam hadis di atas, maka ulama juga perlulah menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan manusia daripada gelap kejahilan kepada cahaya kefahaman melalui pengetahuan ilmu.
            Sekiranya orang alim tidak menjawab atau menyampaikan ilmu, mereka boleh dianggap mengkhianati amanah ilmu. Sedangkan Nabi S.A.W telah berpesan dalam sebuah hadis:
{أَلا لِيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ}
Maksudnya, “Hendaklah orang yang hadir (alim) menyampaikan ilmu kepada orang yang tidak hadir (tidak tahu)”. (Hadis. Ibnu Majah. Kitab al-Muqaddimah: Bab Man Ballagha cIlman. #234).   
           
Dalam sebuah hadis yang lain yang diriwayatkan oleh cAbdullah bin cAmru:
{أَنَّ النَّبِيَّ صلّى الله عليه وسلّم قَالَ: بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً}
Maksudnya, “Nabi S.A.W bersabda: Sampaikan (ilmu) daripadaku walaupun sepotong ayat”. (Hadis. Al-Bukhariyy. Kitab Ahadith al-Anbiya’: Bab Ma Zukira cAn Bani Isra’il. #3461).

Kedua-dua hadis di atas memberi makna yang jelas bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada orang yang alim untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Tindakan tidak menyampaikan ilmu dianggap sebagai menyembunyikan ilmu. Perbuatan ini adalah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya:
﴿إِنَّ الَّذِيْنَ يَكْتُمُوْنَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُوْلَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاَعِنُوْنَ﴾
Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk”. (al-Quran. Al-Baqarah: 159).
           
Rasulullah SAW turut mengecam golongan yang menyembunyikan ilmu dalam sebuah hadis. Baginda menceritakan azab bagi golongan ini:
{مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ عَلِمَهُ، ثُمَّ كَتَمَهُ، أُلْجِمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ}
Maksudnya, “Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu yang diketahuinya tetapi dia menyembunyikannya (tidak menjawab), maka dia akan dikenakan kekang daripada api neraka pada hari akhirat”. (Hadis. al-Tirmidhiyy. Kitab al-cIlm: Bab Ma Ja’a Fi Kitman al-cIlm. #2649).

Abu Hurayrah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
{مَنْ كَتَمَ عِلْمًا، تَلَجَّمَ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ القِيَامَةِ}
Maksudnya, “Sesiapa yang menyembunyikan sesuatu ilmu, maka dia akan dikenakan kekang daripada api neraka pada hari akhirat”. (Hadis. Ibnu Hibban. Kitab al-cIlm: Dhikru Ijab al-cUqubah Yawm al-Qiyamah cAla al-Katimi al-cIlma Alladhi Yuhtaju Ilayhi Fi Umur al-Muslimin. #95).
            Dapat difahami daripada dua hadis di atas bahawa seorang alim tidak boleh menyembunyikan ilmu ketika ditanya oleh orang awam. Tindakan menyembunyikan ilmu boleh menyebabkan masyarakat berterusan dalam kejahilan hukum hakam. Jika alim itu menyembunyikan ilmu tanpa alasan syarie, dia boleh berhadapan siksaan api neraka di akhirat nanti.
            Jabir R.A meriwayatkan sebuah hadis yang dianggap peringatan tegas daripada Rasulullah SAW:
{لا يَنْبَغِي لِلْعَالِمِ أَنْ يَسْكُتَ عَلَى عِلْمِهِ، وَلا يَنْبَغِي لِلْجَاهِلِ أَنْ يَسْكُتَ عَلَى جَهْلِهِ}
Maksudnya, “Tidak wajar seorang alim berdiam diri atas ilmunya (tidak menyampaikan) dan tidak wajar juga seorang jahil berdiam diri atas kejahilannya (tidak bertanya)” (Hadis. Al-Tabraniyy. #5365).

            Hadis ini amat jelas dalam menerangkan kewajipan seorang jahil dan alim. Kewajipan seorang yang tidak tahu ialah bertanyakan kepada yang alim. Manakala kewajipan alim pula ialah menjawab soalan orang yang tidak tahu. Begitulah proses pertanyaan (al-istifta’) dan menjawab (al-ifta’) tidak berhenti sehinggalah hari kiamat. Proses pertanyaan (al-istifta’) dan menjawab (al-ifta’) yang terdapat dalam sistem fatwa adalah amat penting dalam syariat Islam. Ia perlu dititikberatkan oleh umat Islam. Ia selaras dengan tuntutan wahyu al-Quran yang pertama diturunkan oleh Allah iaitu “iqra’” demi membasmi kejahilan di kalangan masyarakat Islam.
            Kepentingan sistem  fatwa ini telah dijelaskan oleh imam al-Ghazaliyy (1998) melalui kata-katanya:
"فليعلم أوّلاً أنّ الفتوى ركن عظيم في الشريعة، لا ينكره منكر، وعليه عَوَّلَ الصحابةُ بعد أَنْ استأثرَ اللهُ برسوله، وتابَعَهم عليهم التابعون إلى زماننا هذا"
Maksudnya, “Pertamanya, hendaklah kamu tahu bahawa fatwa adalah rukun penting dalam syariah yang tidak boleh diinkari sesiapapun. Para sahabat berpegang dengannya selepas Allah mengkhususkannya dengan rasulNya. Kemudian ia diikuti oleh pata tabiin hinggalah pada zaman kita ini”.

Begitu juga imam al-Nawawiyy (2001) menekankan kepentingan dan bahayanya fatwa jika di tangan orang yang tidak layak. Beliau menegaskan:
"اعلم أن الإفتاء عظيم الخطر، كبير الموقع، كثير الفضل، لأن المفتي وارث الأنبياء صلوات الله وسلامه عليهم، وقائم بفرض الكفاية، لكنه معرَّضٌ للخطأ، ولهذا قالوا المفتى مُوَقِّعٌ عن الله تعالى، وروينا عن ابن المنكدر قال: العالم بين الله تعالى وخلقه، فلينظر كيف يدخل بينهم"
Maksudnya, “Ketahuilah bahawa proses pemfatwaan besar bahayanya namun besar juga kedudukannya dan banyak kelebihan. Hal ini kerana mufti adalah pewaris para nabi A.S dan pendiri fardu kifayah, namun dia terdedah kepada kesilapan. Oleh sebab itulah para ulama berkata mufti adalah penyampai (hukum) daripada Allah Taala. Kami telah meriwayatkan daripada Ibn al-Munkadir, dia telah berkata, “(kedudukan) orang alim adalah antara Allah dan makhlukNya, oleh itu lihatllah bagaimana dia masuk antara mereka”.

            Imam al-Shatibiyy (t.th) pula menerangkan tentang kedudukan seseorang mufti. Katanya:
"المفتي قائم في الأمة مقام النبي صلّى الله عليه وسلّم". وقال بعده: "وعلى الجملة فالمفتي مخبر عن الله كالنبيّ، وموقِعٌ للشريعة على أفعال المكلّفين بحسب نظره كالنبيّ، ونافذٌ أمره في الأمة بمنشور الخلافة كالنبيّ. ولذلك سُمُّوا أولي الأمر، وقُرنت طاعتهم بطاعة الله ورسوله في قوله تعالى ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا أَطِيْعُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَأُوْلِيْ الأَمْرِ مِنْكُمْ﴾"
Maksudnya, “Mufti berada di kalangan ummah seperti kedudukan Nabi S.A.W. al-Shatibiyy berkata lagi, “Secara umumnya, mufti memberitahu (hukum) daripada Allah seperti Nabi, menyampaikan syariah atas perbuatan mukallaf berdasarkan pandangannya seperti Nabi, melaksanakan arahanNya dikalangan ummah dengan kuasa khilafah seperti Nabi. Oleh sebab itulah mereka dinamakan uli al-amri dan perintah mentaati mereka disekalikan dengan perintah mentaati Allah dan RasulNya melalui firmanNya yang bermaksud “wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-amri di kalangan kamu” (al-Quran. Al-Nisa‘. 4: 59).

Kedudukan mulia ini turut disentuh oleh Ibn al-Qayyim (1993) melalui kata-katanya:
"ولَمّا كان التبليغ عن الله سبحانه يعتمد العلمَ بما يُبلَّغ، والصدقَ فيه، لم تصلح مرتبةُ التبليغ بالرواية والفتيا إلا لمن اتّصف بالعلم والصدق؛ فيكونُ عالمًا بما يُبلِّغ، صادقًا فيه، ويكون مع ذلك حَسَنَ الطريقةِ، مَرضِيَّ السيرة، عَدلاً في أقواله وأفعاله، متشابهَ السر والعلانية في مَدخَلِه ومَخرَجِه وأحوالِه؛ وإذا كان منصِبُ التوقيع عن الملوك بالمحلِّ الذي لا يُنكَر فضلُه، ولا يُجهَل قدْرُه، وهو من أعلى المراتب السَّنِيّات، فكيف بمَنصِب التوقيع عن ربّ الأرض والسموات؟"
Maksudnya, “Apabila menyampaikan (hukum) daripada Allah S.W.T berdasarkan ilmu tentang apa yang disampaikan dan perlu benar tentangnya, maka tidak boleh martabat penyampaian sama ada dengan periwayatan atau fatwa kecuali oleh mereka yang mempunyai sifat ilmu dan benar. Dia tahu (alim) dan benar pula tentang apa yang disampaikannya. Pada masa yang sama dia juga hendaklah baik akhlak, baik peribadi, adil dalam perkataan dan perbuatannya, sama kelakuannya di tempat tertutup dan terbuka, masuk keluarnya dan semua keadaannya. Sekiranya kedudukan penyampai (berita) daripada raja-raja adalah kedudukan yang tidak dinafikan kelebihannya dan ia setinggi-tinggi kedudukan, apatah lagi kedudukan penyampa (hukum) daripada tuhan bumi dan langit?”.

            Ibnu Qayyim (1993) menyambung lagi:
"فحقيق بمن أُقيمَ في هذا المنصب أن يَعُدَّ له عِدَّتَه، وأن يتأهَّب له أُهْبَتَه، وأن يعلم قدرَ المقام الذي أُقيمَ فيه، ولا يكون في صدره حرجٌ من قول الحق والصَّدعِ به؛ فإن الله ناصرُه وهادِيه، وكيف هو المَنْصِبُ الذي تولاَّه بنفسه ربُّ الأربابِ، فقال تعالى: ﴿وَيَسْتَفْتُوْنَكَ فِي النِّسَاءِ قُلِ اللهُ يُفْتِيْكُمْ فِيْهِنَّ وَمَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ﴾. وكفى بما تولاَّه اللهُ تعالى بنفسه شرفًا وجلالةً؛ إذ يقول في كتابه ﴿يَسْتَفْتُوْنَكَ قُلِ اللهُ يُفْتِيْكُمْ فِيْ الكَلالَةِ﴾، ولِيَعْلَمَ المفتي عمن ينوب في فتواه، ولِيُوقِنَ أنه مسئولٌ غدًا وموقوفٌ بين يدَي اللهِ"
Maksudnya, “Sepatutnya sesiapa yang dilantik ke jawatan ini untuk membuat persediaan dan hendaklah dia sedar kadar kedudukan yang dia dilantik padanya. Hendaklah dia tidak takut berkata benar dan mempertahankannya kerana Allah adalah penolongnya dan pemberi hidayah kepadanya. Masakan tidak, kerana ia adalah kedudukan yang diambil alih olehNya sendiri tuhan segala makhluk. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran) ini” (al-Quran. Al-Nisa‘. 4: 127). Memadailah apa yang diambil alih oleh Allah Taala sendiri sebagai kemuliaan dan keagungan ketika Dia berfirman dalam kitabNya yang bermaksud “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara kalalah itu (al-Quran. Al-Nisa‘. 4: 176). Hendaklah seseorng mufti tahu siapakah yang digantikannya dalam fatwanya dan hendaklah dia yakin bahawa dia bertanggungjawab keesokkan harinya dan akan berdiri di hadapan Allah”.

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage