Abu Hurairah RA
meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang
menegakkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan
diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (riwayat al-Bukhariyy).
Menurut ulama, maksud
menegakkan Ramadan; antaranya ialah bersolat terawih pada waktu malam. Hukum
solat terawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut untuk
dilakukan.
Bagi peniaga bazar
Ramadan, kebiasaan atau kebanyakkannya hanya akan sampai ke rumah setelah azan
Isyak berkumandang. Hal ini mengambil kira keadaan setelah berkemas di tapak
berniaga. Keadaan ini kebiasaannya akan menyebabkan para peniaga bazar Ramadan
tidak sempat atau ketinggalan untuk beribadah solat Terawih berjemaah di Masjid
atau Surau.
Sebenarnya, untuk tidak
kehilangan pahala berterawih, peniaga bazar Ramadan masih boleh menunaikan
solat sunat Terawih. Ia boleh dilakukan sama ada berjemaah dengan ahli keluarga
atau pekerja yang membantu di bazar Ramadan ataupun ia boleh dilakukan secara
bersendirian walaupun pada lewat malam. Oleh itu, tidak ada alasan untuk
ketinggalan dalam mengimarahkan malam Ramadan walaupun anda adalah peniaga
bazar Ramadan.
Marilah kita bersama-sama
memperbanyakkan amalan dalam bulan Ramadan ini. Semoga Allah SWT menerima
amalan salih kita semua. Amin!
“Rehatkan dirimu dengan
Terawih setelah penat berniaga”
Disediakan oleh:
Institut Pengurusan dan
Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Tiada ulasan
Catat Ulasan