(Penulisan ini menjurus kepada
realiti di Malaysia)
Istilah “Anak Tak Sah Taraf” (ATST)
digunakan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan
mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
a. Anak
Tak Sah Taraf ialah:
i.
Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia
bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
ii.
Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2
lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)
Begitu juga Akta atau Enakmen
Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dan fatwa/keputusan fatwa Jawatankusa
Fatwa negeri-negeri di Malaysia juga ada menyentuh definisi ATST. Sebagia contoh; Jabatan Mufti Melaka mendefinisikan anak tak
sah taraf ialah:
i.
Anak yang dilahirkan di
luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
ii.
Anak yang dilahirkan kurang
6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada
persetubuhan Syubhah; dan
iii.
Anak yang dilahirkan lebih
dari 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi
syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan)
mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya),
atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak (Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 38).
Fatwa ini
telah diwartakan oleh kerajaan negeri Melaka melalui warta kerajaan bertarikh
27 Oktober 2005, (PMM/0020 Jld. 6;
PUN(M)223/6 Klt. 17).
Akta Undang-Undang Keluarga Islam
1984 (Akta 303) (Seksyen 2: Tafsiran) mentafsirkan anak tak sah taraf adalah
satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan
darah yang sah sepertimana berikut:
“Tak sahtaraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di
luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”.
Definisi anak tak
sah taraf juga disebut dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri
Johor) 2003 (Fasal 2: Tafsiran), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor
2003 (Seksyen 2: Tafsiran) dan lain-lain enakmen negeri.
Istilah ATST seperti yang
didefinisikan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia, Akta atau Enakmen
Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dan fatwa/keputusan fatwa Jawatankusa
Fatwa negeri-negeri di Malaysia ke semuanya menjurus kepada makna yang sama
dengan definisi “anak zina”. Penggunaan istilah “anak tak sah taraf” mungkin dilihat lebih “beradab” dan “manis” berbanding
istilah “anak zina” yang dipandang hina dan keji oleh masyarakat.
Namun, istilah ATST khususnya di
Malaysia tidak sahaja membawa maksud “anak zina”, walaupun ini yang difahami
oleh masyarakat awam. Sebenarnya ATST turut merangkumi anak yang ketiadaan
dokumen akibat perkahwinan ayah dan ibunya tidak didaftarkan di mahkamah
Syariah (Noor Azliza Shaharudin. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 2012.
Temubual). Perkara ini selalu terjadi bagi pasangan yang ber”kahwin lari” di
luar negara atau menggunakan sindiket.
Anak-anak yang ketiadaan dokumen
ini dikategorikan sebagai “anak tak sah taraf” sehinggalah perkahwinan ibu
ayahnya berjaya didaftarkan di Mahkamah Syariah. Terkadang proses ini boleh
mengambil masa bertahun-tahun lamanya (Noor Azliza Shaharudin. Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN), 2012. Temubual).
Bukan itu sahaja, ATST juga
meliputi anak li’an, anak laqit (pungut atau terdampar), anak mangsa
rogol dan anak sumbang mahram. Oleh itu sebagai kesimpulannya, penulis
mendefinisikan “anak tak sah taraf” sebagai:
“Anak-anak
yang dikategorikan dalam salah satu kategori-kategori berikut:
i.
Anak zina: anak yang lahir di luar pernikahan yang Syarie oleh ibu bapanya.
ii. Anak li’an: anak yang dinafikan nasabnya oleh si ayah
kerana menuduh isterinya (ibu si anak) berzina dengan orang lain.
iii. Anak laqit (pungut atau terdampar): anak yang dijumpai,
sama ada dia dibuang oleh ibu/bapanya atau terdampar akibat sesuau perkara
seperti bencana alam.
iv. Anak mangsa rogol: anak yang dilahirkan hasil daripada
kejadian rogol.
v. Anak tiada dokumen: anak yang ketiadaan dokumen akibat
perkahwinan ayah dan ibunya tidak didaftarkan di mahkamah Syariah akibat
masalah-masalah tertentu.
vi. Anak sumbang mahram: anak yang dilahirkan hasil daripada
kejadian sumbang mahram seperti ayah merogol anak perempuannya atau berzina
dengannya”.
Sebagai kesimpulan, ATST khususnya
di Malaysia mempunyai dua definisi, pertama dari sudut fiqh iaitu anak yang
lahir di luar pernikahan yang Syarie (anak zina), anak laqit (pungut
atau terdampar), anak mangsa rogol dan anak sumbang mahram. Kedua dari sudut pentadbiran
JPN, iaitu anak yang ketiadaan dokumen akibat perkahwinan ayah dan ibunya tidak
didaftarkan di mahkamah Syariah.
Oleh itu, masyarakat tidak boleh
sewenang-wenangnya menganggap semua ATST adalah anak zina. Persepsi negatif dan
penghinaan kepada ATST (termasuk anak zina) perlu dihindarkan kerana anak-anak
tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tanggungjawab masyarakat ialah
perlu membantu dan memberi sokongan moral kepada ATST agar mereka juga mendapat
hak sebagai serang manusia atas dasar mereka adalah saudara seagama ataupun
semanusia.
Disediakan oleh:
Prof . Madya Dr. Irwan Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan
Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM)
Tiada ulasan
Catat Ulasan