Minda Fikir (3): Pemahaman Nas Secara Tekstual dan Konstetual


29 Disember 2017

Minda Fikir (3): Pemahaman Nas Secara Tekstual dan Konstetual

Saban hari kita melihat segelintir asatizah berbalah dalam media sosial tentang pelbagai isu. Saya gunakan istilah "berbalah" yang lebih negatif kedengarannya bukannya istilah "berdiskusi" yang lebih positif kedengarannya. Ini kerana apa yang kita baca, "kelihatan" lebih kepada ingin memperlihatkan pandangan sendiri adalah betul dan ingin menyerlahkan kesalahan pihak lain terutama seterunya.

Saya menyeru diri saya terlebih dahulu dan kepada semua asatizah agar merenung sebuah hadis Rasulullah SAW:
عن ابن عمر رضي الله عنهما قال قال النبي صلى الله عليه وسلم يوم الأحزاب لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة فأدرك بعضهم العصر في الطريق فقال بعضهم لا نصلي حتى نأتيها وقال بعضهم بل نصلي لم يرد منا ذلك فذكر ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فلم يعنف واحدا منهم
Maksudnya, "Daripada Ibn Umar RA berkata, Nabi SAW bersabda pada hari peperangan al-Ahzab, "jangan sesiapapun solat Asar kecuali di Bani Quraizah. Lalu sebahagian Sahabat mendapati waktu Asar telah masuk. Sebahagian mereka berkata, "kami tidak akan solat Asar kecuali sehingga kami sampai di sana (Bani Quraizah dan walaupun waktu telah luput). Sebahagian pula berkata, 'kami akan solat Asar dahulu. Nabi tidak bermaksud pun demikian (untuk kita tangguh Asar sehingga luput waktu). Peristiwa ini diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda tidak mencela sesiapapun" (Riwayat al-Bukhari dalam "al-Maghazi").

Hadis ini berkaitan satu arahan Rasulullah SAW selepas peperangan al-Ahzab supaya tentera Islam bergerak pula ke kampung Bani Quraizah untuk memerangi mereka. Sebahagian memahami secara tekstual (zahir hadis) dan mereka berpandangan tidak boleh solat Asar dalam perjalanan dan hanya akan solat Asar bila sampai di kampung tersebut walaupun waktu Asar telah luput. Ini kerana itulah yang difahami daripada zahir hadis tersebut.

Manakala sebahagian lain memahami secara kontekstual (logik nas hadis) dan berpandangan bahawa bukan niat Nabi SAW untuk melarang solat Asar tetapi gesaan supaya cepat sampai ke kapung tersebut. Apatah lagi mereka mengetahui bahawa setiap solat wajib dilaksanakan dalam waktunya berdasarkan dali-dalil lain. Jadi golongan ini behenti sekejap untuk menunaikan solat Asar dan kemudiannya meneruskan perjalanan.

Apa yang menarik ialah jika dilihat di akhir hadis ini, Nabi SAW TIDAK MENYALAHKAN apatah lagi MENCELA mana-mana sahabat baginda dalam memahami arahan baginda. Ini menunjukkan bahawa baginda meraikan kepelbagaian kefahaman di kalangan para sahabat. Perbezaan ijtihad di kalangan sahabat dalam senario ini diterima oleh Nabi SAW.

al-Fairuz Abadi dalam "al-Qamus al-Muhit" mengatakan bahawa perkataan 'annafa bi ma'na laama (mencela). Ibnu Manzur dalam "Lisan al-'Arab" pula menyatakan bahawa al-ta'nif bi ma'na al-taubikh (mencela/memaki hamun).

Lihat apa kata Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya "I'lam al-Muwaqqi'in":
وقد اجتهد الصحابة في زمن النبي صلى الله عليه وسلم في كثير من الأحكام ولم يعنفهم؛ كما أمرهم يوم الأحزاب أن يصلوا العصر في بني قريظة، فاجتهد بعضهم وصلاها في الطريق، وقال: لم يرد منا التأخير، وإنما أراد سرعة النهوض، فنظروا إلى المعنى، واجتهد آخرون وأخروها إلى بني قريظة فصلوها ليلا، نظروا إلى اللفظ، وهؤلاء سلف أهل الظاهر، وهؤلاء سلف أصحاب المعاني والقياس. انتهى.

Ibn Hajar dalam kitab "Fath al-Bari" menukilkan kalam al-Suahili:
في هذا الحديث من الفقه أنه لا يعاب على من أخذ بظاهر حديث أو آية ولا على من استنبط من النص معنى يخصصه، وفيه أن كل مختلفين في الفروع من المجتهدين مصيب. انتهى.

Imam al-Nawawi pula dalam "Sharh Sahih Muslim" berkata:
فأخذ بعض الصحابة بهذا المفهوم نظراً إلى المعنى لا إلى اللفظ، فصلوا حين خافوا فوت الوقت، وأخذ آخرون بظاهر اللفظ وحقيقته فأخروها. ولم يعنف النبي صلى الله عليه وسلم واحداً من الفريقين لأنهم مجتهدون. ففيه دلالة لمن يقول بالمفهوم والقياس ومراعاة المعنى ولمن يقول بالظاهر أيضاً، وفيه أنه لا يعنف المجتهد فيما فعله باجتهاده إذا بذل وسعه في الاجتهاد، وقد يستدل به على أن كل مجتهد مصيب. انتهى.

Ini juga menunjukkan bahawa pemahaman secara tekstual dan konstektual terhadap nas atau dalil telah, sedang dan akan berlaku kepada manusia termasuk para mujtahidin, Ia adalah sunnatullah kepada manusia.

Jika Rasulullah SAW TIDAK MENYALAHKAN apatah lagi MENCELA mana-mana sahabat baginda dalam ijtihad mereka yang berbeza, kenapa kita galak menyalahkan orang lain? Lagi hebat lagi apabila kita mencemuh, memaki hamun, memerli dan yang paling teruk; mengkafirkan pihak yang tidak seijtihad dengan kita.

Sunnah siapa yang kita ikut? Sunnah Nabi SAW atau sunnah al-Syaitan al-Rajim?

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage