Dakwaan Tanpa Bukti


06 Februari 2019

Dakwaan Tanpa Bukti

Post ini adalah peringatan kepada semua pimpinan, ahli dan penyokong semua parti politik. Bacalah dengan iman dan taqwa!
عن عبد الله بن عباس -رضي الله عنهما- أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- قال: «لو يُعْطَى الناسُ بدَعْوَاهُم لادَّعى رجالٌ أموالَ قومٍ ودِمَاءَهُم، لكنَّ البينةَ على المدَّعِي واليَمِينَ على من أَنْكَرَ».
[صحيح.] - [أخرجه بهذا اللفظ البيهقي في السنن الكبرى. وأخرج البخاري ومسلم بعضه.]
Maksudnya, "Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, jika dibiarkan manusia (bebas) mendakwa, pasti mereka akan (sesuka hati) mendakwa hak harta dan darah orang lain. Akan tetapi, orang yang mendakwa perlu mengemukakan bukti dan orang menafikan dakwaan hendaklah bersumpah".

Hadis ini memberi panduan jelas kepada kita termasuklah dalam konteks poiltik tanah air (yang tak berkesudahan). Ia memandu kita terutama pihak-pihak berkait dengannya iaitu:
1. Pihak yang mendakwa.
2. Pihak yang kena dakwa.
3. Polis yang akan menyiasat.
4. Mahkamah yang memutuskan hukuman.
5. Kerajaan yang akan memastikan sistem keadilan berjalan lancar.
6. Orang awam yang selalunya ada persepsi awal.
7. Netizen yang suka membawang.

Imam al-Nawawi menyebut dalam Sharh Sahih Muslim:
وهذا الحديث قاعدة كبيرة من قواعد أحكام الشرع، ففيه أنه لا يُقبَل قول إنسان فيما يدعيه بمجرد دعواه، بل يحتاج إلى بينة، أو تصديق المدَّعَى عليه، فإن طلب يمين المدعى عليه فله ذلك
Maksudnya, "Hadis ini adalah satu kaedah penting daripada kaedah-kaedah hukum Syarak. Dakwaan seseorang insan tidak diterima sekadar dengan dakwaanya semata-mata. Dia perlu membuktikannya atau membenarkan pihak yang didakwa. Sekiranya pihak yang didakwa diminta untuk bersumpah, dia boleh berbuat demikan".

Imam Ibn Daqiq al-'Ayd dalam Sharh al-Arba'in juga menekankan:
وهذا الحديث أصل من أصول الأحكام، وأعظم مرجع عند التنازع والخصام، ويقتضي ألا يحكم لأحد بدعواه
Maksudnya, "Hadis ini merupakan salah satu usul hukum hakam. Ia rujukan penting dalam kes pertelingkahan dan pergaduhan di mana ia menuntut supaya hakim tidak memutuskan hukuman berdasarkan dakwaan semata-mata (tanpa bukti)".

Jika diaplikasi hadis ini dalam konteks isu politik tanah air, ia juga terpakai kes 1MDB, isu 90 juta (sebagai contoh). Semata-mata dakwaan daripada sesiapa sahaja, sama ada ahli parti sendiri mahupun musuh politik tetap tertakluk kepada prinsip pendakwaan menurut Syariat Islam iaitu pihak yang mendakwa perlu mengemukakan bukti terhadap dakwaannya.

Sekadar menimbulkan persepsi awam dengan dakwaan (tuduhan) tanpa bukti, seseorang (juga parti) memang boleh berjaya (dan ia memang terjadi pun), namun tindakan ini amat-amat jauh daripada panduan fiqh islami.

Berpolitik pun biarlah politik yang memberi keadilan termasuklah kepada pihak lawan. Ini yang ditekankan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" (surah al-Ma'idah: 8).

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage