Rehlah Mencari Barakah Di Bumi Bakkah - Siri 2


07 Mac 2019

Rehlah Mencari Barakah Di Bumi Bakkah - Siri 2

Aku katakan kepada isteri keduaku, kalau nak bawa dia menunaikan umrah, aku kena bawa sekali isteri pertamaku. Ini supaya berlaku adil untuk kedua-duanya. Setelah kami bersetuju untuk menguruskan sendiri rehlah umrah kami, isteri keduaku yang banyak mencari maklumat penerbangan, hotel penginapan dan lain-lain. Dia memang teruja sangat nak pergi, maklumlah ini kali pertama dia dapat pergi ke Mekah. Apatah lagi dapat ditemani suami dan madunya sekali.

Hampir setiap malam isteri keduaku mencari maklumat khususnya mengenai penerbangan ke Jeddah, Saudi. Dia ingin membuat perbandingan harga syarikat penerbangan yang menawarkan harga paling murah. Maklumlah, bila urus sendiri, kita boleh mencari dan memilih harga tiket paling murah. Kalau pergi dengan syarikat travel, harganya memang tetap dan tidak boleh diubah. Syarikat penerbangan ke Saudi pun memang ditentukan oleh syarikat travel umrah.

Antara syarikat penerbangan yang ditinjau isteri keduaku ialah Air Asia, Malaysia Airlines, Saudi Airlines dan lain-lain. Cadangan tarikh yang kami hendak pergi ialah awal bulan Februari 2019. Jadi harga tiket kapal terbang pada tarikh tersebut adalah lebih kurang dalam lingkungan dua ribu hingga dua ribu lima ratus ringgit pergi dan balik.

Untuk penerbangan jarak jauh, aku dah biasa naiki pelbagai jenis syarikat penerbangan untuk kelas ekonomi. Untuk jarak lebih kurang tujuh jam perjalanan, aku pernah naik Royal Jordanian, Malaysia Airlines, Saudi Airlines, Pakistan International Airlines, Air Asia, Qatar Airways, Etihad Airways dan Emirates. Masing-masing ada kelebihan tersendiri.

Antara cabaran rehlah umrah kali ini ialah isteri pertamaku adalah pesakit buah pinggang. Jadi, di samping menguruskan sendiri pencarian penerbangan dan hotel, aku juga kena uruskan tempat dialisis isteriku bila berada di Madinah dan di Mekah nanti. Sebab itu aku katakanan umrah DIY aku lain sikit daripada umrah DIY orang lain. Mereka yang tidak memerlukan rawatan dialisis, hanya perlu memikirkan dan menguruskan perjalanan dan penginapan sahaja di tanah haram. Namun, aku di samping dua perkara ini, aku juga perlu menguruskan rawatan cuci buah pinggang (dialisis) isteri pertamaku.

Pesakit buah pinggang biasanya akan menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Sekali rawatan akan mengambil masa empat jam. Anda yang mengikuti cerita rehlah umrah aku ini turut akan tahu prosedur dan bagaimana hendak menguruskan rawatan dialisis untuk ahli keluarga yang terlibat yang ingin menunaikan umrah sama ada di Madinah atau di Mekah.

Untuk maklumat penerbangan dan penginapan, aku serahkan kepada isteri keduaku untuk menguruskannya. Aku menguruskan visa umrah. Untuk itu aku ada tanyakan siapa yang boleh bantu menguruskan visa umrah untuk aku yang nak pergi secara DIY kepada sahabatku Us. Ismail Ibrahim (Pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTEM) yang selalu membawa jemaah umrah. Dia memberi nombor kawannya iaitu Us. Muszaki Pengarah Urusan An Najwa Travel & Tours Sdn. Bhd.

Bersambung...

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage