Kebiasaannya bila membicarakan situasi genting, kritikal, kronik, kita hanya tahu istilah darurat. Darurat yang difahami ialah keadaan kritikal yang "hanya" menyebabkan kematian. Keadaan yang tidak menyebabkan kematian, kita katakan ia bukannya darurat.
Namun Jamil Ahmad Mubarak (1998) mengemukakan suatu definisi darurat yang lebih jelas iaitu:
"Darurat ialah khuatir akan kematian (khawf al-halak) atau kemudaratan kronik (al-darar al-shadid) terhadap salah satu perkara daruriyyat yang menimpa diri seseorang atau orang lain. Ancaman tersebut diyakini (yaqinan) atau dipercayai (zannan) akan berlaku jika individu tersebut tidak melakukan perkara yang boleh menghindarkan malapetaka atau kemudaratan kronik tersebut".
Berdasarkan definisi tersebut, beberapa perkara penting tentangnya dapat dirumuskan. Antaranya:
i. Darurat merupakan suatu mashaqqah (kesulitan) kritikal yang menyebabkan kematian ataupun ancaman serius terhadap keselamatan nyawa dan fizikal mudtarr serta kelestarian pelbagai daruriyyat al-khams lain.
ii. Mashaqqahnya pula terdiri daripada dua tahap kesulitan iaitu pertama, kesulitan yang menyebabkan kematian atau kemudaratan dan kedua, kesulitan yang menyebabkan kesempitan teruk (diq shadid) terhadap salah satu daripada daruriyyat al-khams. Ini bermakna had minima darurat bermula apabila pengguna menghadapi kesempitan teruk dalam satu perkara, bukannya mesti mencapai tahap maksimum iaitu mati.
Dalam erti kata lain, darurat ada dua situasi iaitu:
1. Situasi yang menyebabkan keadaan kronik atau kritikal tetapi tidak sampai mati.
2. Situasi yang menyebabkan mati.
Bila berlaku situasi darurat, ia mengharuskan perkara yang diharamkan sebelum ini.
Manakala hajat pula didefinisikan sebagai:
"Satu keperluan yang tidak sampai tahap darurat tetapi ia amat perlu dilakukan untuk mengelakkan kesukaran hidup".
Darurat mempunyai asas dalil daripada al-Quran iaitu antaranya firman Allah Taala:
فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ
Maksudnya, "Sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa" (Surah al-Baqarah: 173).
Manakala hajat diasaskan dalil hadis Rasulullah SAW:
فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Maksudnya, "Sesiapa yang mengimami orang ramai, maka ringankanlah. Ini kerana ada antara mereka orang sakit, orang lemah dan orang yang punya keperluan" (Riwayat al-Bukhari).
Daripada dalil-dalil ini, fuqaha membina kaedah fiqh yang berkaitan dengan darurat, antaranya:
الضَّرَرُ يُزَالُ
Maksudnya, "Kemudaratan perlu dihindarkan".
Antara kaedah fiqh berkaitan dengan hajat ialah:
الحاجة تُنزَّل منزلة الضرورة، عامة كانت أو خاصة
Maksudnya, "Hajat mengambil hukum darurat sama ada ia hajat yang umum atau hajat yang khusus".
Walid Salah al-Din al-Zayr & Hamzah Hamzah (2010) menegaskan bukanlah semua hajat (keperluan) akan dijatuhkan sama hukum dengan darurat, tetapi ada antara keperluan manusia yang boleh mengambil hukum darurat berdasarkan keadaan tertentu. Sebab itulah Walid Salah al-Din al-Zayr menyokong pandangan Ahmad al-Rashid (dalam kitabnya "al-Hajah Wa Atharuha Fi al-Ahkam" bahawa kaedah fiqh berkaitan hajat itu ditambah perkataan "boleh" mengambil hukum darurat" (الحاجة يمكن أن تنزل منزلة الضرورة).
Ini prinsip yang boleh diterima oleh kita semua. Namun dalam aplikasi prinsip dan kaedah berkaitan darurat dan hajat, boleh jadi akan berlaku perbezaan pandangan.
Apabila saya menulis post sebelum ini berkaitan doktor wanita dan doktor lelaki menyambut kelahiran, ramai juga yang bertanya tentang kehadiran doktor atau jururawat pelatih sama ada lelaki atau wanita ketika proses seseorang ibu melahirkan anak. Adakah kehadiran mereka dianggap "darurat".
Jika kita menganggap ia situasi darurat, sudah tentu hujah kita tidak tepat kerana tanpa kehadiran doktor atau jururawat pelatih, si ibu tetap boleh melahirkan anak. Apatalah lagi memang sudah ada doktor dan jururawat pakar dan terlatih sudah ada.
Kehadiran doktor atau jururawat pelatih hanya pada tahap hajat iaitu keperluan. Persoalannya adakah hajat atau keperluan di sini mengambil hukum darurat atau tidak?
Sebelum saya menjawab persoalan di atas, saya berikan satu lagi contoh "keperluan" yang juga boleh dibincangkan dari sudut fiqh. Antara latihan yang dilalui oleh anggota PALAPES ialah mereka dikehendaki meniarap dalam tempoh yang lama dari jam 6 petang hingga jam 3 pagi sebagai latihan untuk "ambush" pihak musuh. Mereka tidak dibenarkan berdiri langsung.
Jika dilihat dari segi waktu latihan meniarap itu, ia akan melibatkan waktu solat Maghrib. Waktu Asar tiada masalah sebab boleh solat sebelum latihan jam 6 petang. Waktu Isyak pun tiada masalah sebab boleh solat selepas habis latihan jam 3 pagi. Persoalan yang hampir sama, adakah keperluan latihan PALAPES ini boleh menjadi rukhsah untuk tidak qiyam (berdiri tegak) untuk solat Maghrib?
Kedua-dua situasi di atas iaitu doktor/jururawat pelatih dan PALAPES yang menjalani latihan dalam situasi hajat atau keperluan latihan untuk menjadikan mereka lulus dalam bidang masing-masing. Tanpa latihan ini, mereka mungkin tidak lulus latihan dan tidak akan mendapat pengalaman dalam bidang berkaitan.
Kedua-dua situasi bukan dalam keadaan darurat, tapi hanya dalam situasi hajat (keperluan) khusus. Kedua-dua situasi melibatkan situasi sama ada melakukan perkara haram iaitu melihat aurat pesakit (bagi doktor/jururawat pelatih) dan situasi meninggalkan rukun qiyam solat (bagi PALAPES). Kedua-dua situasi bukan situasi saja-saja tetapi atas dasar hajat (keperluan) khusus.
Hukum asal ialah haram melihat aurat orang lain dan jika tidak qiyam dalam solat bagi orang yang mampu berdiri, solatnya tidak sah.
Jika dibantah kedua-dua situasi itu bukannya darurat, kita katakan ya kita setuju ia bukan darurat. Namun ia boleh jadi darurat peringkat minimum atau setidaknya ia adalah hajat (keperluan) khusus.
Hajat (keperluan) khusus boleh mengambil hukum darurat iaitu diharuskan perkara yang haram. Darurat adalah salah satu faktor yang menyebabkan hukum rukhsah berlaku. Dan sudah tentu keharusan itu bukan bersifat mutlak tetapi ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat sesuai dengan kaedah fiqh:
الضرورة تقدر بقدرها
Maksudnya, "Darurat ada tahap kadarnya".
Seperti yang saya tegaskan tadi, kita boleh bersetuju dengan pembahagian darurat dan hajat. Namun kita boleh berbeza pandangan dalam memberi contoh aplikasi.
رأيي صواب يحتمل الخطأ أو رأيي خطأ يحتمل الصواب.
Maksudnya, "Pendapat ku boleh jadi betul tetapi boleh jadi juga silap. Atau pendapatku silap tetapi boleh jadi juga betul".
Wallahu a'lam bi al-sawab.
RUJUKAN
Ahmad Kafi. T.th. al-Hajah al-Shar'iyyah Hududuha Wa Qwa'iduha. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Ahmad al-Rashid. 2008. al-Hajah Wa Atharuha Fi al-Ahkam Dirasah Nazariyyah Tatbiqiyyah. T.tp: Dar Kunuz Ishbiliyya.
Mubarak, Jamil Ahmad. 1998. Nazariyyat al-Darurah Hududuha wa Dawabituha. Mansurah: Dar al-Wafa’.
Walid Salah al-Din al-Zayr & Hamzah Hamzah. 2010. Dawabit al-Hajah Allati Tunazzal Manzilat al-Darurah Wa Tatbiqatuha Ala al-Ijtihadat al-Mu'asirah. Majallah Jami'ah Dimashq Li al-Ulum al-Iqtisadiyyah Wa al-Qanuniyyah. Al-Adad 1.
Tiada ulasan
Catat Ulasan