Malaysian University English Test atau singkatannya MUET ialah ujian bahasa Inggeris yang dijalankan di peringkat pra-universiti, matrikulasi, asasi, diploma, dan STPM. Ia bertujuan untuk mengukur tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Sesetengah fakulti ataupun universiti mensyaratkan MUET dengan band tertentu sebagai syarat kemasukkan dan ada yang mensyaratkannya sebagai syarat bergraduan.
Apa yang saya perhatikan, tidak sedikit pelajar yang berulang kali mengambil peperiksaan MUET, namun masih belum melepasi band yang ditetapkan oleh universiti. Apa faktornya? Kenapa sampai banyak kali ambil peperiksaan ini tetapi masih “gagal”. Mengambil semula peperiksaan kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya bermaksud, yuran peperiksaan juga terpaksa dibayar berkali-kali.
Saya lemah bahasa Inggeris. Saya tidak pandai bahasa Inggeris. Sebab itu saya gagal berkali-kali dalam peperiksaan MUET.
Sebelum menyalahkan bahasa Inggeris atau sesiapa, cuba tanya diri sendiri, adakah anda membuat persediaan yang sebetulnya dan sebenarnya?
Jika kita sudah tahu betapa lemahnya dan betapa tidak pandainya kita dalam bahasa Inggeris, sudah tentu perlu ada persediaan yang mantap. Persediaan rapi dan mantap bukan bermaksud kita membaca buku MUET 2-3 hari sebelum peperiksaan. Yang lebih teruk serta dahsyat, kita hanya membaca malam peperiksaan dalam keadaan kita sedar diri (bahkan ada yang tidak sedar diri) bahawa kita tidak pandai berbahasa Inggeris.
Persediaan yang betul dan yang akan membantu ialah persediaan yang tepat dan berguna.
Ada 2 cara persediaan yang boleh saya kongsikan; yang tidak memerlukan kos dan yang memerlukan kos. Saya menasihatkan sebaiknya anda buat persediaan dengan 2 cara ini. Namun, jika anda rasa kurang berkemampuan, boleh sahaja memilih persediaan yang tidak melibatkan kos.
Persediaan yang tidak melibatkan kos sebenarnya memerlukan masa yang lama, tetapi tidaklah bermaksud sehingga 2-3 tahun. Dalam satu kursus motivasi bahasa Inggeris yang pernah saya hadiri, fasilitator memberitahu, kita hanya perlukan 7 hari untuk kuasai (dalam erti kata boleh) bahasa Inggeris.
Caranya ialah setiap hari kita peruntukkan 1 jam dengan pecahan seperti berikut:
20 minit mendengar
20 minit membaca
20 minit bercakap
Kenapa 7 hari? Mengikut fasilitator tersebut, untuk boleh bercakap dalam sesuatu bahasa dunia, kita hanya memerlukan 2000 patah perkataan bahasa itu. Sedangkan menurut beliau, dalam sistem pendidikan di Malaysia, sejak dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah, dianggarkan lebih kurang 7000 patah perkataan bahasa Inggeris telah dipelajari oleh kita. Ia sudah lebih daripada mencukupi.
Sebab itu dalam kursus tersebut beliau menyatakan, “stop learning English, start practicing English”.
20 minit mendengar bahasa Inggeris boleh dilakukan dengan mendengar pelbagai siaran radio berbahasa Inggeris yang ada di Malaysia. Boleh juga mendengar sambil menonton kartun, berita, filem dan apa sahaja bahan yang sesuai. YouTube, Google dan lain-lain platform dalam talian memberi pilihan yang cukup banyak untuk membantu kemahiran mendengar.
20 minit membaca bahasa Inggeris boleh dilakukan dengan membaca surat khabar, komik, buku atau apa-apa bahan dalam bahasa Inggeris. Pelbagai bahan “percuma” boleh dilayari dalam talian menggunakan telefon pintar yang dimiliki.
20 minit bercakap bahasa Inggeris boleh dilakukan dengan bercakap dengan orang lain atau bercakap sendirian. Pilihan kedua iaitu bercakap sendirian sudah tentu menjadi pilihan utama. Tidak mengapa. Bercakap sendirian mengurangkan rasa malu salah bercakap, namun ia perlu dilakukan untuk meningkatkan kemahiran bercakap bahasa Inggeris.
Bercakap sendirian ketika mandi, ketika menunggang motosikal, ketika memandu kereta, ketika memasak, ketika berjoging dan ketika bila-bila atau di mana yang dirasakan anda berseorangan sebab nak kurangkan rasa malu. Silakan. Sebenarnya ketika anda membaca surat khabar contohnya, anda boleh membaca sambil menyebut apa yang ada baca dengan suara kuat. Secara automatik anda mempraktikkan bacaan dan percakapan. Mudahkan?
Persediaan yang melibatkan kos (sama ada sedikit atau banyak) ialah dengan menghadiri kursus, bengkel, kelas intensif bahasa Inggeris. Berdasarkan pengalaman peribadi, bila saya mengikuti kelas intensif bahasa Inggeris berbayar, ia banyak membantu penguasaan bahasa Inggeris. Saya bersyukur kerana mendengar nasihat seorang rakan agar mengikuti kelas intensif bahasa Inggeris sebelum mengambil peperiksaan International English Language Testing System (IELTS).
Pada asalnya saya ingin terus mendaftar untuk mengambil IELTS untuk tujuan sambung belajar. Saya hanya bercadang membaca sendiri dan bertawakal. Namun seorang rakan berkata, adalah lebih baik mengikuti kelas intensif sebagai persediaan yang lebih mantap. Kami mendaftar diri di sebuah pusat bahasa Inggeris di Kuala Lumpur dengan yuran RM800-RM1000 (kalau tidak silap) untuk 8 kali pertemuan. Kelas kami mengandungi 5 orang pelajar sahaja iaitu; 2 orang Melayu (iaitu saya dan rakan), seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina dan 2 orang warga China.
Kelas intensif ini diajar oleh seorang guru Melayu yang katanya dia sendiri telah mengambil IELTS sebanyak 30 kali. Katanya itu untuk dia mengetahui teknik terkini soalan IELTS supaya dia boleh mengajar bagaimana hendak menjawab IELTS walaupun kita “kurang” atau “tidak pandai” bahasa Inggeris. Jadi beliau mengajar kami cara dan teknik menjawab IELTS dan saya akui tip-tip yang diberikan oleh guru tersebut amat-amat membantu saya ketika mengambil IELTS.
Alhamdulillah, saya mendapat band 6 IELTS hasil mengikuti kelas intensif tersebut. Saya rasakan, seandainya saya tidak mengikuti kelas ini, kemungkinan besar saya hanya dapat band 4 sahaja atau kurang.
Di sini saya pelajari satu benda berharga iaitu pentingnya persediaan rapi. Kita tidak pandai bahasa Inggeris, jadi jangan belagak dengan hanya membaca malam peperiksaan. Usaha dan persediaan perlu ada.
Tiada ulasan
Catat Ulasan